WARKAH PENDOSA
Aku sudah lupa..
suatu ketika
tentang….
Apa itu dosa?
Sekian lama aku bergelumang dalamnya
Membentuk jiwa kotor lagi ternoda
Merasakan segala nikmat
Adalah aku yang punya
Sehingga luput rasa segan
dan peka
Percayakah kalian?
Dulu aku bukan begini!
Namun tak sentiasa roda berputar
di tempat yang sama
di tempat yang sama
apabila Tuhan tidak lagi kujadikan ‘Raja’
sedikit demi sedikit kulakukan ‘ia’
Dari kecil sehingga besar
Mulanya ku sangka segalanya terkawal
Apakan daya bila ia mula membarah
Sebenarnya...kadang-kadang
muncul rasa bersalah
muncul rasa bersalah
Tapi bila dah lama-lama ku terasa indah
Kata hatiku “nanti sempatlah berubah
asal sahaja ada keinginan itu jua”
lama-lama rasa hina mula sirna
Sifatku jadi bejat moral apatah lagi agama
Gagal aku bezakan yang benar dan yang salah
Pandanganku pada yang lain angkuh dan bangga
Kerana merasa ‘berbeza’ dan istimewa
Aku yakin tidak akan ‘rebah’
Melainkan memang tiba sudah masanya
Dalam diam-diam
Aku rasa terhina
Manusia lihatku sebagai ‘Penjenayah’
aku lemah seketika..
Arghh…
Tapi aku peduli apa?
“Diriku, aku yang rasa!”
Manusia hanya pandai berkata-kata!
Lalu….
Dia hantar sebahagian kecil dari bala 'tentera’nya
untuk aku 'beradu kekuatan' sedetik cuma
keputusannya samada
aku tunduk menyerah kalah
kembali padanya dengan rasa cinta
atau terus mendabik dada
bermegah alpa
Aku enggan!
Tapi batinku lama-lama tak terdaya …
lalu…
ku meratap hiba
menyesali sepuas-puasnya
tersungkur di ‘kaki’ Sang Pencipta
yang agung dengan ar-Rahman dan ar-RahimNya
kukuh bersemayam atas ArasyNya
kupanjat kudaki puncak keampunan Si Dia
kuberjanji tak akan lagi mendustaiNya
tapi tak mampu kupadam
palitan kenangan 'ia' yang kupanggil dosa
Biar kekal
menjadi sejarah
buat insan lemah bernama hamba
tak mungkin lagi kembali padanya
Tuhan....aku redha dan pasrah!
-Iman Umar Muhammadi. 10/10/2014
