Friday, 10 October 2014


POLITIKUS

Sudah puaskah ?
Bicaramu sang pelipurlara?
Sambil bergurindam mesra
kau mereka-reka seloka
Kata-katamu umpama butiran delima
Membungkam mulut rakyat jelata
kerana terpana dan terpesona
lagi jahil tentang permainan dunia

Argh…
Tanggalkan topeng di wajahmu itu!
Hapuskan kepura-puraanmu
Sudah ku jelik dengan perilakumu
Kau kurung kebebasanku dalam  cahaya kelam
Adakah kau sangka aku akan terus berdiam?
Setelah banyak benda kau rampas dariku
Kau rumitkan kehidupan
Lalu berani  kau dakwa ia keperluan?


Kau dan aku serupa walau tak sama
bukan insan sempurna
Tapi tak bermakna aku sentiasa kata ‘Ya’
Bukan juga membabi buta
untuk cantas suara bernas yang kau ada
andai benar kau orangnya
terpilih dalam barisan ketua

Hei politikus ternoda!
Takkan sesekali aku menyerah
Sebagaimana yang lain dapat kau ‘arah’
Dalam gerak caturmu yang kau reka
Untuk kepuasan nafsu serakah
Membiarkan mereka yang percaya
Terus lemah sehingga rebah
perlahan-lahan mati rasa dan anggota  

Terlerailah wahai tali pedati
Yang kau ‘ikat’ pada batang tubuh ini
atau dirian konkrit yang ‘membatukan’ jiwa ini


Selamat tinggal
saat bila jam pasirmu telah pun
habis butir halusnya
atau
aku yang bangkit
bersama mereka
untuk menuntut
hak milik yang terpelihara
setelah berzaman teraniaya





 Iman Umar, 11/10/2014