Friday, 2 September 2016

                                                 
                                                             CUTI YANG LAMA


FRIM 2015-2016
-Gambar tiada kaitan dengan cerita. Saja mengusik memori.


Salam Jumaat dan Salam Kemaafan.

   Aku tidak tahu kalau selama ini yang aku tuliskan dalam blog ini memberi kesan atau tidak pada sesiapa yang secara tidak sengaja mahupun sengaja mengunjungi halamanku ini. Hal ini kerana, walaupun aku  amat berharap agar sebarang bentuk penulisanku memberi kesan positif kepada pembaca, namun melihatkan ketidakkonsistenanku samada dari segi pengeluaran cerita, tajuk atau subjek mahupun segala segi, jelas menunjukkan aku seakan tiada kreabiliti untuk menjadi 'blogger' yang baik walau hakikatnya, cerita hidupku sebenarnya memang menarik dan berwarna-warni (hal ini bila aku berkongsi cerita  secara lisan mahupun mereka yang sendiri merasai pengalaman bersamaku, kata mereka "ada-ada sahaja cerita yang pelik-pelik berlaku "(tapi bukan kisah kuasa luarbiasa ya).

    Suatu hakikat juga, ketakutanku untuk berkongsi adalah punca juga halaman ini sudah bersawang agak lama. Ketakutan ini adalah kerana memang berkait dengan cerita di atas, kisah-kisah hidupku memang biasanya lain dari yang lain (tak bermaksud juga aku hebat, aku memang biasa-biasa ja walau sedikit perasan diriku istimewa, haha). Aku khuatir bilamana aku menceritakan, akan ada yang mengenaliku. Ya, aku penakut.Mungkin takut dengan kata-kata orang atau mungkin mahu mengelakkan salah faham atau sebenarnya berpunca dari kisahku yang memang sangat menjaga privasi diri sekalipun luarannya aku kelihatan sangat terbuka kecuali hal-hal keluarga.

   Namun, memikirkan bahawa aku mengharapkan sekurang-kurangnya satu skil terasah kembali terutamanya dalam penulisan Bahasa Melayu yang sangat 'usang' sekarang dek kerana kekerapan yang sangat dalam penulisan bahasa Inggeris khasnya untuk kerja-kerja rasmi ketika belajar di UIA (walau BI ku mungkin tak seberapa) dan memang sesungguhnya aku sangat gembira dengan nikmat ilmu dan bahasa di UIA, aku rasa tidak ada salahnya untuk aku memaksa diriku untuk menulis semula dan berusaha sebaik mungkin dalam menjaga penulisan agar tidak memberi persepsi buruk. Paling kurang, ini usahaku.

     Ironinya, sejak sekolah aku sudah memenangi begitu banyak pertandingan menulis karangan.Malah pernah memenangi pertandingan antara sekolah-sekolah, apatah lagi dalam kelas, selalu dapat markah teringgi penulisan atau memenangi antara kelas.Memang penulisan atau karangan adalah antara subjek kegemaranku baik tetapi..

           Aku akui, aku lemah dalam tatabahasa dan pemahaman. Seingatku menjelang SPM atau PMR (tak ingat yang lama), aku pernah mendapat 2 per 10 sahaja markah sedangkan rakan-rakan lain termasuk yang majoritinya bukan Melayu berjaya memperolehi markah yang begitu membanggakan.Jarang aku mencapai 7/10.Apatah lagi selaku pelajar sekolah primier atau aliran perdana (sekarang bergelar Sekolah Kluster) seharusnya aku mudah menguasai komponen-kompoen bahasa ini lagi-lagi bahasa Melayu adalah bahasa utamaku di rumah (di sekolah, aku menggunakan bahasa Inggeris dan jarang bergaul dengan pelajar Melayu atau kerana pelajar Melayu banyak di kelas lain).
                
       Balik kepada cerita asal, sebenarnya minggu hadapan aku akan mula mengajar bahasa Melayu, Sains dan Matematik selaku guru tuiyen peribadi sambilan. Esok, aku perlu mengajar bahasa Arab dan agama/mengaji dan petang tadi aku mengajar mengaji. Jadi guru tuiyen ala-ala ustazah gitu, ya? Nanti akan aku ceritakan bagaimana kerjaya baruku bermula di tempat kelahiranku, insyaAllah. 

   Mungkin akan ada persoalan, tidak dapatkah kerja lain, sebarang temuduga atau mencari tempat lain? Jawapannya...kita sambung nanti. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
    

    

No comments:

Post a Comment