![]() |
| Picture of TC from Google |
Saat ini
hatiku sedang dipagut rasa rindu
kepada sebuah tempat lama
yang buatku sekian lama tidak berjumpa
Tempat itu tersangat indah
buat yang menghargai kehadirannya
Kulihat tingginya batang-batang yang menggalah
menujah ke angkasa
membina kanopi hijau seakan raksasa
melindungi jiran 'kecil'nya dari panas dan teriknya cahaya
Kabus selepas hujan
tambah seri pada 'wajah'
Sang kayu reput menyembah tanah
menjadi baja buat 'generasi' seterusnya
Di situ ada sungai
'laut' gelaran penduduk sekitar
yang pelbagai saiz dan dalam
dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya
walau warnanya tidak putih jernih
bukti kewujudan ia menjadi nadi alam
habitat semulajadi zaman-berzaman
walau kini diancam kerakusan insan
tetap dijaga oleh 'asal leluhur kita'
Daunan mengkuang meliuk-lentuk
seakan melambai kepada sang penghuni alam
ditiup oleh sang angin yang meniup kencang
mencipta kuakan pada permukaan
mengingatkan pada 'mitos silam'
dalam dasarnya kisah naga berdiam
Tasik Chini lah namanya
tempat mula kenal pelbagai cerita
serta ragam manusia pelbagai rupa
buatku yang menjadi 'penghuni sementara'
si pengembara dunia sang Pencipta
Tasik Chini, Pekan Pahang in memory
-Iman Umar Muhammadi, 22/11/2014

No comments:
Post a Comment